Suami Isteri Maut Kemalangan

KUALA NERUS: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 36 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat selekoh Jalan Felda Belara di Kuala Nerus hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 petang, peneroka FELDA, Latib Ishak, 66, dan isterinya, Rahanah Hamid, 60, dari FELDA Cerul 2, Kemaman meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu kenderaan jenis Isuzu D-Max berusia 21 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Tong, Setiu menghala ke Sungai Ikan, Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan Isuzu D-Max itu dilanggar kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat pasangan berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Razak berkata, pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan kematian,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.