Pemilihan PKR Perak Esok Ditangguh

IPOH: Pemilihan PKR peringkat Perak membabitkan 24 cabang yang dijadualkan esok, dibatalkan dan ditangguh ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Ketua Penerangan PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din.

“Saya baru sahaja dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti peringkat pusat bahawa pemilihan peringkat Perak sudah pun diumumkan untuk dibatalkan selepas mengambil kira semua faktor dan keadaan yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang.

“Kami dimaklumkan tidak ada tarikh yang spesifik disebut (tarikh baharu), tetapi buat masa ini pemilihan ini dikira batal dan ditangguhkan hingga ke satu masa yang akan diumumkan Datuk Rashid,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Siti Aishah berkata, beliau akan mengadakan sidang media di sini jam 10 malam ini bagi menjelaskan perkara itu.

Hari ini, proses pengundian di enam cabang PKR Kedah iaitu di Alor Setar, Sungai Petani, Baling, Merbok, Jerai dan Kulim-Bandar Baru terpaksa ditangguhkan berikutan kekecohan dan masalah pada sistem e-undi.

Bagi pemilihan di Perak yang sepatutnya diadakan esok, seramai 60,324 ahli parti itu dari seluruh Perak layak melaksanakan tanggungjawab di semua 24 cabang di negeri berkenaan bagi memilih pemimpin parti bagi sesi akan datang. – BERITA HARIAN

One thought on “Pemilihan PKR Perak Esok Ditangguh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.