Pemilihan PKR Lapan Cabang Di Kedah Ditunda

SHAH ALAM – Pemilihan di lapan cabang PKR di Kedah terpaksa ditunda ke satu tarikh lain selepas beberapa insiden berlaku hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Rashid Din berkata, cabang Merbok, Jerai dan Padang Serai ditunda bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku selepas sistem e-undi tergendala. 

“Terdapat pelbagai sebab kita terpaksa menunda proses pengundian di tiga cabang tersebut antaranya sebab sistem e-undi tergendala, penyokong tidak sabar selain ada kelompok yang mendesak supaya pemilihan di cabang mereka ditangguhkan,” katanya dipetik Utusan Online.

Manakala proses pengundian di cabang Alor Setar, Sungai Petani, Sik, Baling dan Kulim/Bandar Baharu terpaksa ditunda berikutan masalah teknikal.

Dalam pada itu, tular di media sosial berlaku kekecohan di Pusat Pemilihan PKR Merbok di Cinta Sayang Resort, Sungai Petani sehingga terpaksa dikawal pasukan ‘Light Strike Force’ (LSF).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan kejadian tersebut sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan. -SuaraTv 

One thought on “Pemilihan PKR Lapan Cabang Di Kedah Ditunda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.