Kerjasama UMNO, Pas Bentuk Pembangkang Efektif

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menjelaskan kerjasama dengan PAS di negeri ini adalah sebagai ikatan pembangkang bagi menegur Kerajaan Persekutuan dalam isu tertentu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, berkata UMNO dan PAS akan terus berjuang bersama-sama sebagai pembangkang yang efektif, walaupun parti itu memerintah Kelantan.

Beliau berkata, sememangnya kerjasama seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor sudah terjalin dengan PAS, namun untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sebarang rundingan perlu ditentukan oleh Presiden UMNO.

“Kita belum mengadakan sebarang rundingan dengan PAS Kelantan, tapi secara luaran kerjasama diwujudkan sebagai ikatan pembangkang bagi mendapatkan persefahaman dalam menegur kerajaan yang memerintah negara hari ini.

“Walaupun saya antara pemimpin UMNO yang hadir pada Muktamar PAS baru-baru ini, bukan bermakna kita ada ikatan kukuh dengan parti itu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Kerja Perhubungan UMNO Kelantan akan ditubuhkan bagi meneliti aspek dan bentuk kerjasama antara parti itu dengan PAS mengikut acuan politik di negeri ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatankuasa yang diketuai Ahmad Jazlan itu kemudiannya akan mengadakan perbincangan rasmi dengan PAS dan kerajaan negeri bagi menentukan bentuk kerjasama nanti.

Mengulas mengenai keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed yang keluar parti, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan menghormati tindakan itu atas prinsip negara demokrasi.

Katanya, sehingga hari ini, beliau masih belum bertemu dengan Mustapa yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa bagi mendapatkan penjelasan sebenarnya tindakannya itu.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak membuat andaian apakah sebab beliau meninggalkan parti. Kita mahu penjelasan itu datang dari mulut beliau sendiri.

“Apapun, saya yakin tindakan beliau itu tidak akan mempengaruhi orang lain untuk mengikut jejak langkahnya. Saya tahu sehingga saat ini beliau masih sayangkan parti, cuma ada perkara tidak dapat saya jelaskan,” katanya. – BERITA HARIAN

2 thoughts on “Kerjasama UMNO, Pas Bentuk Pembangkang Efektif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.