Drastix Cafe Sedia Sajian Percuma Untuk Penuntut IPT Shah Alam

SHAH ALAM – Zaman menuntut ilmu di menara gading semestinya banyak mengajar erti kehidupan.

Kalau sudah namanya mahasiswa, pasti pernah merasa bagaimana peritnya apabila terpaksa mengikat perut lantaran perbelanjaan bulanan terpaksa dicatu. Tambahan pula bukan berasal daripada keluarga yang senang. 

Pengalaman inilah yang mendorong seorang pengusaha kedai makan mengadakan sajian percuma bagi pelajar IPT yang menghadapi masalah kewangan.

Aifa Azman, 25, pemilik “Drastix Cafe” di Kondominium Kristal di Seksyen 7, Shah Alam menyediakan “nasi bujang” yang terdiri daripada nasi bersama sup kosong, telur dadar dan sambal belacan.

“Saya turut selang-seli dengan masakan istimewa seperti ayam masak sambal pada hari tertentu,” katanya dipetik Bernama.

Menurut Aifa yang pernah menuntut di sebuah IPT di selatan tanah air tujuh tahun lalu, restorannya dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam, dan dari hari Isnin hingga Jumaat.

“Pelajar IPT bolehlah datang pada waktu itu untuk mendapat makanan percuma, “ katanya.

Selain mahu membantu pelajar IPT yang kesempitan wang, Aifa berkata niatnya berbuat kebajikan kerana mahu menyedekahkan pahala buatnya ibunya yang meninggal dunia pada 2014.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, beliau menggunakan wang simpanannya untuk menyediakan sajian percuma berkenaan. 

Beliau juga menerima sumbangan orang ramai yang ingin bersedekah untuk tujuan membantu pelajar yang memerlukan.

Aifa berkata, beliau berharap pemberian makanan percuma itu dapat dijadikan aktiviti berpanjangan dan bukan sekadar untuk sementara waktu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.