Penerjun Australia Sangkut Tingkat 15, Rempuh Cermin

SIBU — Seorang peserta Australia pada acara Sibu International Base Jump 2017 mengalami kecederaan ringan selepas merempuh dan tersangkut pada cermin tingkap di tingkat 15, bangunan tertinggi di Sarawak, Wisma Sanyan, di sini ketika melakukan aksi terjunam semalam.

Gary Favre, 42, mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan paha ketika melakukan terjunan dari puncak bangunan 28 tingkat itu pada kira-kira jam 9 pagi, lapor

“Beliau diberi bantuan perubatan awal di lokasi sebelum dihantar dengan ambulans ke sebuah pusat perubatan swasta untuk menerima beberapa jahitan di bahagian peha,” kata pengerusi Pasukan Petugas Penggalak Pelancongan Bahagian Sibu (SDTTG), Hii Chang Kee.

Hii, yang juga Residen Bahagian Sibu, berkata kemalangan seperti itu lumrah dalam acara terjunan ‘Base Jump’dan pihak penganjur akan sentiasa memberi peringatan kepada peserta supaya lebih berhati-hati.

Menurutnya, taklimat keselamatan telah diberikan kepada peserta petang kelmarin.

Sementara itu, presiden Persatuan BASE Jump Malaysia, Aziz Ahmad percaya kejadian itu bukan disebabkan oleh masalah teknikal.

Semua peserta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang cukup dan insiden ini lebih kepada ‘nasib’ dan bukan berpunca daripada masalah teknikal,” katanya.

Beliau berkata Gary pernah melakukan 420 kali terjunan di seluruh dunia dan ini merupakan kali pertama di Malaysia.

Sejumlah 90 penerjun dari 18 negara menyertai acara tahunan tersebut yang dianjurkan sejak 2009.

Acara yang diadakan sehingga Ahad ini mewajibkan peserta naik ke puncak bangunan Wisma Sanyan setingga 126 meter itu sebelum melakukan terjunan dan mendarat di padang Dataran Bandaran Sibu.

Acara di sini adalah seminggu sebelum KL Tower International Jump Malaysia di Menara KL, Kuala Lumpur, dari 29 Sept hingga 2 Okt ini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.