Tiket F1 Tak Laku?

SEPANG – Keadaan ekonomi semasa beri kesan kepada penjualan tiket perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia khususnya dalam kalangan penonton tempatan kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali.

 

Beliau berkata, situasi itu sememangnya tidak dijangkakan pihaknya yang mengharapkan ia akan melebihi jumlah yang diperoleh daripada tempoh sama tahun lepas.

 

“Saya harap trend pembelian saat-saat akhir penonton tempatan akan melonjakkan jualan. Dari segi penonton antarabangsa, kita dapat lihat peningkatan dua peratus dari tahun ke tahun. Ini satu pertumbuhan yang baik khususnya untuk sektor pelancongan.

 

“Namun dari segi penonton tempatan, penjualan tiket agak perlahan. Saya harap dalam tempoh kurang daripada dua minggu ini, mereka akan mula membeli,” kata Razlan memetik laporan Bernama.

 

Turut hadir, pelumba GP2 negara, Nabil Jeffri dan pelumba GP3, Akash Nandy.

 

Malaysia akan menjadi tuan rumah pusingan ke-16 Grand Prix F1 di Litar Sepang pada 30 Sept hingga 2 Okt ini.

 

Sebelum ini, sejak 2001 Malaysia menganjurkan perlumbaan grand prix itu di awal musim perlumbaan dan tahun ini merupakan kali pertama ia dipilih menganjurkan pusingan ke-16 iaitu kelima terakhir sebelum lengkap 21 pusingan
perlumbaan musim 2016 ini.

 

Razlan berkata keadaan ekonomi global dan tempatan yang tidak menentu juga mungkin menjadi faktor penyusutan jualan tiket untuk perlumbaan tahun ini.

 

“Bagaimanapun, jualan tiket MotoGP tidak tergugat sangat. Sebaliknya mencatat peningkatan. Kedua-dua perlumbaan ini (F1 dan MotoGP) mempunyai pengikut yang berbeza,” katanya.

 

Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) pula akan berlangsung di Litar Sepang pada 28 hingga 30 Okt ini.

 

Dalam perkembangan lain, Razlan memberitahu peralatan pasukan F1 yang terlibat telah mula tiba di Litar Sepang hari ini dari Singapura melalui jalan darat.

 

“Ini kali pertama mereka datang ke Litar Sepang menggunakan jalan raya. Sebelum ini, kebiasaannya mereka gunakan pengangkutan udara mahupun laut. Ia sesuatu yang baru juga buat semua pasukan yang terlibat,” katanya.

 

Menurut Razlan, kerja-kerja mempersiapkan kawasan litar untuk perlumbaan F1 masih giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada Ahad ini.

 

 

Semua pasukan F1 dijangka tiba pada Isnin depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.