Sidang Dewan Rakyat Bermula 17 Okt, Bajet 2017 Dibentang 21 Okt

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama 25 hari bermula 17 Okt hingga 24 Nov depan.

 

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam satu kenyataan berkata persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 10 hari bermula 5 hingga 21 Dis depan.

 

Beliau berkata pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat akan berlangsung pada Jumaat, 21 Okt.

 

Roosme berkata waktu persidangan Dewan Rakyat yang ditetapkan ialah dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Khamis.

 

“Waktu persidangan Kamar Khas yang berlangsung di Kamar Khas, Blok Pejabat Sementara Parlimen, pula ialah dari pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang pada Isnin hingga Khamis,” katanya.

 

Persidangan Dewan Rakyat akan datang bakal menyaksikan sesi khas Waktu Pertanyaan Menteri dilaksanakan.

 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengumumkan perkara itu pada Isnin lepas berkata sesi selama 30 minit itu akan diadakan setiap Selasa dan Khamis sebelum bermulanya sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

 

Waktu Pertanyaan Menteri diluluskan sebulat suara oleh Penyata Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 7 April lepas. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.