Shafie Ambil Alih Parti Tempatan Sabah

PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal hari ini mengumumkan beliau tidak menubuhkan sebarang parti baharu sebaliknya akan mengambil alih parti yang sedia ada di Sabah.

 

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, pertemuannya dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini adalah bagi proses penukaran nama dan logo parti tersebut.

 

“Kita akan umumkan nama dan perkara lain selepas mendapat kelulusan ROS nanti.

 

Saya yakin ia tidak akan mengambil masa lama,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang permohonan kepada ROS namun enggan mendedahkan nama parti tersebut

 

Menurutnya ia merupakan parti berbilang kaum yang berpengkalan di Sabah dan beroperasi secara aktif sejak ia ditubuhkan pada 2013.

 

Ditanya mengapa beliau tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Shafie berkata, beliau mahu menumpukan kepada perjuangan di Sabah.

 

“Kita akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai matlamat yang sama,” katanya lagi sambil menegaskan akan terus berjuang untuk rakyat.

 

Shafie pada 4 Julai lalu mengumumkan keluar parti selepas keahliannya digantung Jawatankuasa Disiplin sejak 24 Jun lalu.

 

Pengumuman dibuat beberapa hari selepas Majlis Tertinggi memecat timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

Turut mengumumkan langkah sama Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong serta tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan pada 27 Jun lalu, susulan tindakan Majlis Tertinggi UMNO menggantung keahlian Shafie.

 

“Pertemuan dengan ROS hari ini adalah untuk proses penukaran logo dan nama baru bagi parti yang sedia ada.

 

“Saya tidak menubuhkan parti baharu memandangkan ia mengambil masa terlalu lama. Saya akan memberitahu nama parti selepas selesai urusan dengan ROS,” jelas Shafie kepada pemberita di perkarangan ibu pejabat ROS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.