Segera Tamatkan Konflik Syria – Ahmad Zahid

NEW YORK – Selepas lima tahun berlalu, sekarang adalah masa untuk menyelesaikan sama sekali konflik di Syria kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu masyarakat antarabangsa.

 

Beliau berkata, sejak 2011, konflik itu telah menular dengan mencetuskan krisis kemanusiaan secara besar-besaran yang menyebabkan semua pihak berusaha keras untuk menanganinya.

 

“Pihak-pihak yang bertelagah di Syria seolah-olah sengaja mengetepikan semua alasan dan sifat kemanusiaan, tidak dapat menyatakan sudah cukuplah untuk mengelakkan lebih banyak kematian dan kecederaan, terutama kanak-kanak,” katanya lapor Bernama.

 

Ahmad Zahid berkata, konflik berdarah dan berlarutan di Syria itu benar-benar menguji keupayaan Majlis berkenaan untuk menyatukan seluruh pendekatan bersama bagi penyelesaian politik yang berwibawa dan berkekalan terhadap krisis itu.

 

Katanya, Majlis Keselamatan harus mengekalkan ketegasan dan terus berusaha mencapai perpaduan dalam tujuan bagi melaksanakan tanggungjawab secara efektif demi mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

 

“Dalam mencari pelbagai format untuk menyelesaikan konflik Syria, saya ingin menekankan Majlis tidak boleh diketepikan dan mempunyai peranan penting,” katanya.

 

Timbalan Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Agung PBB di bandar raya ini.

 

Sebagai anggota Majlis Keselamatan ketika ini, beliau berkata sokongan Malaysia bagi pelaksanaan keputusan mengenai Syria adalah tidak berbelah bahagi, terutama bagi menghentikan keganasan dan mengenai situasi kemanusiaan.

 

Bgaimanapun katanya, Malaysia berkongsi pendapat ramai bahawa masa untuk mesyuarat yang tidak berkesudahan dan resolusi mengenai Syria perlu berakhir kerana fokus penting ialah bagi mencapai keamanan yang berkekalan di negara yang dilanda peperangan itu.

 

Katanya konflik itu memberi ruang dan persekitaran yang membolehkan keganasan berleluasa terutama kebangkitan kumpulan militan Daish yang perbuatan dan kekejaman mereka kian diperkatakan di seluruh dunia.

 

Ahmad Zahid berkata Malaysia terkejut dan marah terhadap insiden serangan ke atas konvoi kemanusiaan yang disokong PBB dekat Aleppo pada malam Isnin lalu.

 

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan orang awam yang tidak bersenjata dan pekerja kemanusiaan dalam insiden itu, yang sekali lagi secara terang-terang melanggar undang-undang antarabangsa yang menggambarkan pihak terbabit langsung tidak menghormati nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.

 

Beliau turut menggambarkan mengenai realiti suram yang dihadapi rakyat Syria, terutama ketika penduduk dihujani dengan bom.

 

“Kami melihat kanak-kanak tercungap-cungap menarik nafas terakhir ketika berdepan kematian selepas diserang dengan senjata kimia, dan hati kami remuk menyaksikan seorang budak berusia lima tahun, Omran Daqneesh yang dipenuhi debu dan berlumuran darah, duduk bersendirian dalam keadaan terkejut, menanti dalam ambulans selepas ditarik keluar daripada runtuhan rumah keluarganya.

 

“Malangnya, ramai lagi yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sambil menegaskan perhatian khusus perlu diberikan untuk melindungi kanak-kanak kerana mereka adalah golongan yang paling terdedah dalam sebarang konflik keganasan.

 

Tambahnya, satu lagi insiden yang mengejutkan rakyat Malaysia ialah pengeboman hospital bersalin di Idlib yang menyebabkan bayi-bayi dalam inkubator terhempas ke lantai.

 

“Kami dengan keras menuntut pihak yang bertelagah untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa terutama dalam menyediakan akses bantuan kemanusiaan dan melindungi orang awam dan harta awam, termasuk kanak-kanak, petugas bantuan atau penyelamat, sekolah dan hospital,” katanya.

 

Ahmad Zahid berkata Malaysia berdiri teguh bersama negara sahabat Syria yang lain dalam membantu meringankan penderitaan rakyatnya.

 

“Dalam hal ini, kami mengambil langkah-langkah tertentu termasuk memberi bantuan kewangan sederhana secara langsung dan sumbangan barangan kepada rakyat Syria yang memerlukan terutama yang berada di kawasan sempadan.

 

“Kami juga komited untuk mengambil beberapa ribu rakyat Syria yang lari daripada keganasan di negara mereka dan saya gembira berkongsi bahawa inisiatif ini telah dilaksanakan,” katanya.

 

Menurutnya Malaysia kekal komited untuk menuntut pihak-pihak berkenaan bertanggungjawab terhadap pelbagai pelanggaran dan pencabulan yang dilakukan semasa konflik di Syria dan bersedia bekerjasama dengan semua rakan yang berminat dan menyokong inisiatif ini.

 

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa halangan yang dilaporkan sejak kebelakangan ini, pakej perjanjian Rusia-Amerika Syarikat yang dicapai pada 9 Sept lepas mewakili usaha konkrit terkini untuk menghentikan keganasan dan meletakkan asas bagi proses berwibawa termasuk politik untuk masa depan Syria.

 

“Pada ketika Pernyataan Geneva 2012 kekal relevan, Malaysia berpendapat bahawa menggerakkan proses politik perlu berpandukan ketetapan mengikut Resolusi Majlis Keselamatan 2254, selari dengan pelaksanaan penyusunan Rusia-Amerika Syarikat.

 

“Kami menyeru semua pihak yang berminat dan berkepentingan untuk memberi sokongan ke arah usaha itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.