Pelajar Tingkatan Tiga Yang Diculik, Ditemui Selamat

Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Nur Darleen Dazeera Azhar yang dilaporkan dilarikan dua lelaki bermotosikal ketika sedang menunggu van di hadapan rumahnya pagi tadi, ditemui selamat oleh orang awam kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

 

Nur Darleen dihantar pulang oleh orang awam yang menemuinya berjalan sendirian berhampiran pasar raya Aeon di Bandar Tun Hussein Onn.

 

Dia ditemui dalam ketakutan dan terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarganya sebaik tiba di rumah.

 

Kehilangan Nur Darleen itu telah disebarkan menerusi media sosial sejak pagi tadi dengan mangsa dikatakan ditarik naik sebuah motorsikal oleh dua orang penculik. Mangsa dipaksa duduk di tengah-tengah penculik terbabit.

 

Nur Darleen ditemui oleh keluarga seorang rakan sekelas, yang ternampak dia sedang berjalan kaki-kira kira-kira 300 meter dari rumah keluarganya pada pukul 2.20 petang.

 

Sementara itu, Juliana Jeffri, 42 yang sedang memandu kenderaan bersama anak perempuan dan rakannya ke hypermarket berhampiran terkejut apabila melihat Nur Darleen.

 

“Saya sedang memberitahu anak saya dan rakannya bahawa tidak selamat berjalan seorang diri apabila anak saya menjerit bahawa itu adalah Darleen,” katanya seperti yang dipetik dalam New Straits Times Online.

 

Terkejut dengan keadaan itu, Juliana berkata anaknya dan rakannya itu kemudian memanggil nama Nur Darleen dan memintanya masuk ke dalam kereta supaya mereka boleh menghantarnya pulang.

 

Jelasnya, Nur Darleen tidak bercakap sepanjang perjalanan ke rumah dan dia hanya menangis. Apabila mereka tiba di rumah Nur Darleen, dia terus disambut ahli keluarganya dan dibawa masuk ke dalam rumah.

 

Dalam pada itu, bapa saudaranya, Jalaluddin Md Zin berkata, Nur Darleen memaklumkan bahawa lelaki yang menculiknya membawa parang sebelum memaksanya menaiki motorsikal.

 

Nur Darleen memberitahu keluarganya dia dibawa ke satu lokasi yang tidak diketahui di mana dia dikurung namun apabila berita mengenai kehilangannya tersebar, dia telah ditinggalkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.