Mahkamah Tolak Rayuan Tiga Polis Rogol Wanita Indonesia

PUTRAJAYA – Tiga anggota polis masing-masing dikenakan penjara 12 tahun dan dua sebatan selepas gagal dalam rayuan terakhir untuk mengetepikan sabitan merogol wanita Indonesia dan memaksanya melakukan seks oral.

 

Konstabel Remmy Anak Dana, 29, Syahiran Romli, 25, dan Koperal Nik Sin Mat Lazim, 37, didakwa melakukan dua kesalahan itu terhadap wanita berusia 25 tahun ketika itu, di Bilik 4, Berek Polis Perai di Butterworth, Pulau Pinang, antara 6.40 pagi dan 7.30 pagi, 9 November 2012.

 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan tiga anggota polis itu terhadap sabitan, hukuman penjara dan sebatan selepas memutuskan sabitan mereka adalah sempurna.

 

Dalam keputusannya, beliau berkata pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Azmi Ariffin tidak silap dalam keputusan mengenai fakta dan undang-undang mengenai kes hingga memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

 

Anggota polis itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2 Disember tahun lalu, dalam mengekalkan sabitan mereka. Mereka dibebaskan dengan jaminan RM30,000 setiap seorang sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

 

Mahkamah Tinggi itu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dengan sebatan setiap seorang kerana kesalahan merogol dan mengurangkan hukuman penjara dari 12 tahun kepada lapan tahun serta satu sebatan kerana kesalahan melakukan seks oral tanpa persetujuan wanita berkenaan.

 

Mereka diarah menjalani hukuman serentak.

 

Berdasarkan fakta kes, wanita itu dan teman lelakinya dalam perjalanan pulang dari pub apabila ditahan polis yang memeriksa dokumen perjalanan wanita itu.

 

Wanita itu dibawa ke balai polis selepas diberitahu oleh Nik Sin bahawa salinan fotostat pasportnya tidak boleh diterima dan teman lelakinya pulang ke rumah bagi mendapatkan pasport wanita itu.

 

Di balai polis, dia dibawa ke sebuah bilik dan dirogol serta disuruh melakukan seks oral sebelum dihantar pulang ke rumah pada hari yang sama dengan kereta Syahiran dan diminta tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu.

 

Ketiga-tiga mereka menafikan mengadakan hubungan seks dengan wanita itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.