Kesal Tindakan Jeff Ooi Tidak Ditegur Pemimpin Melayu Pakatan Pembangkang

MACHANG – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap beberapa pemimpin melayu pakatan pembangkang yang mengambil pendekatan mengunci mulut ekoran daripada tindakan anggota parlimen Jelutong, Jeff Oii yang menghina pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din.

 

Menurut beliau, tindakan mereka ‘mengunci mulut’ ini menunjukkan baahawa mereka tidak merani menegur tindakan salah oleh pemimpin PKR.

 

“Orang Islam jadi begitu sensitif kerana mereka anggap penghinaan itu bukan setakat penghinaan kepada Allahyarham Haron tetapi tidak menghormati Islam dan menghina orang Islam secara keseluruhan.

 

“Banyak laporan polis dibuat oleh anggota UMNO (sendiri), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya tetapi kita tak dengar satu kenyataan pun daripada pemimpin Melayu pembangkang yang lain,” katanya  selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang di sini, malam tadi.

 

Beliau yang juga Menteri  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mengulas mengenai kenyataan biadab anggota Parlimen Jelutong itu menghina pemergian Allahyarham Haron menerusi twitternya.

 

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak tegas dengan memanggil Ooi untuk memberi keterangan berhubung tindakannya itu.

 

Katanya, tindakan itu tepat pada masanya bagi mengelakkan perkara lebih buruk terutama melibatkan keselamatan negara daripada berlaku pada masa akan datang.

 

“Mereka (pembangkang) tak boleh mengambil ringan tentang perasaan orang Melayu dan Islam dalam negara kita. Mereka tak boleh sesuka hati kalau mereka rasa nak hina, mereka hina kerana jika dibiarkan, akhirnya mungkin akan berlaku sesuatu yang kita tak nak lihat,” katanya.

 

Haron meninggal dunia pada 16 Sept lepas semasa mendapatkan rawatan di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.