Saya Diberitahu Saya Berbahaya, Kata TMJ

SHAH ALAM – Selepas mencetuskan kontroversi berkaitan arahan penurunan bendera Jalur Gemilang di Johor, kali ini Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencuri tumpuan lagi apabila mendakwa dirinya seorang yang digeruni ramai.

 

Dalam status yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers semalam, Tunku Ismail atau popular dikenali sebagai TMJ itu berkata ada sesetengah pihak memberitahunya bahawa beliau seorang yang ‘berbahaya’.

 

“Saya diberitahu saya berbahaya… Saya bertanya kenapa?

 

“Mereka berkata, kerana saya boleh membawa rakyat bersama-sama dan saya tidak perlu ada orang lain,” katanya dipercayai merujuk pada sanjungan umum terhadapnya di media sosial.

 

TMJ bagaimana pun tidak menyatakan siapa sebenarnya yang menganggap beliau sebagai ‘berbahaya’ dan pihak mana yang menceritakan kisah tersebut.

 

Dalam status yang sama TMJ menyatakan keadaan itu membuatkannya tersenyum.

 

“Itu membuatkan saya tersenyum.

 

“Saya tidak ada apa-apa untuk dibuktikan, hanya segala-galanya untuk diperbaiki,” tulisnya lagi.

 

Sementara itu tinjauan di laman sosial terdapat banyak komen yang berbangga dengan pencapaian TMJ sekarang.

 

Tidak kurang juga komen-komen yang menganggap status terbaru TMJ itu bernada angkuh dan bongkak umpama ‘masuk bakul angkat sendiri’.

 

Dalam perkembangan lain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Amran A. Rahman ketika mengulas isu penurunan bendera Jalur Gemilang berkata surat pekeliling yang kontroversi sebelum ini merujuk kepada bendera bersaiz kecil dan bendera hiasan lain pada bangunan, tepi jalan dan juga digantung di pagar sempena Hari Kebangsaan.

 

Katanya lagi arahan penurunan Jalur Gemilang tersebut tidak merujuk kepada Jalur Gemilang yang dikibarkan di sekolah, pejabat kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan negeri itu.

 

Sumber dari Istana Johor pula menjelaskan bahawa pegawai daerah yang menandatangani surat pekeliling itu mungkin telah salah faham mengenai arahan untuk menurunkan bendera tersebut. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!