Hanya Ubah Portfolio Menteri, Tiada Rombakan Kabinet – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menafikan laporan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet melibatkan pengguguran jawatan menteri, sebaliknya berkata, beberapa perubahan portfolio akan dilakukan.

Mahathir bagaimanapun berkata, perkara itu hanyalah di peringkat cadangan dan beliau belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

“Tiada rombakan kabinet, tiada menteri baru.

“Saya cakap dengan Kabinet mungkin ada tukar sikit portfolio, tapi belum ada lagi. Itupun saya belum buat dan belum lakukan, kalau nak buat saya beri tahu,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama pegawai kerajaan di Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.

Terdahulu akhbar melaporkan, Mahathir memaklumkan kepada menteri dalam mesyuarat mingguan mereka semalam bahawa akan berlaku rombakan portfolio dengan perubahan itu diumumkan dalam masa seminggu.

Akbar tempatan berbahasa Cina juga melaporkan bekas menteri, Mustapa Mohamed hampir pasti diberikan jawatan menteri sekiranya berlaku rombakan Kabinet.

Mahathir petang tadi berkata dia belum memutuskan portfolio mana yang akan berubah, dan menambah ia akan berlaku jika perlu.

“Tiada permintaan tukar portfolio (daripada mana-mana menteri),” katanya.

Mahathir juga menafikan Mustapa akan dilantik sebagai menteri. Mustapa Mohamad pernah menggalas portfolio kewangan, pembangunan usahawan, pendidikan tinggi, pertanian dan industri asas tani, dan perdagangan antarabangsa dan industri. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.