Exco Perak Mungkin Didakwa Esok Atas Tuduhan Rogol Amah

IPOH – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini esok atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, Julai lalu.

Difahamkan, pendakwaan terhadap Paul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain; Peguam Choo Kiong, Leong Cheok Keng dan Pengarah Pendakwaan negeri masih belum mengesahkan perkara itu.

Pada 8 Julai lalu, Paul yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis dibuat pembantu rumahnya.

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol majikannya di kediaman di Meru sehari sebelum laporan dibuat.

Paul kemudian ditahan pada 9 Julai lalu namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat dilakukan dalam tempoh 24 jam.

Kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk tindakan seterusnya, namun dikembalikan semula kepada pihak polis sebanyak tiga kali bagi melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.