Mangsa Ke-12 Maut Kena Jangkitan Anjing Gila

KUCHING – Tidak sampai seminggu bertarung dengan penyakit rabies yang menjangkitinya, seorang lelaki dari Jalan Matang di sini menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.15 pagi semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa yang berusia 44 tahun itu maut akibat rabies encephalitis.

Katanya, semua hasil ujian sampel klinikal yang dijalankan terhadap mangsa adalah positif bagi jangkitan rabies.

“Mangsa sebelum ini tidak pernah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang menggigit isterinya pada 13 Januari lalu.

“Ketika itu dia mempunyai luka terbuka di tangan kanannya, dan dipercayai jangkitan berlaku melalui luka tersebut,” katanya.

Anjing terbabit kemudian dilaporkan mati.

Kata Dr Noor Hisham, pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

“Beliau sebaliknya mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos lalu dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos.

“Keadaannya bagaimanapun bertambah teruk sejak 11 Ogos lalu hingga mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

“Beliau kemudian dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos.

“Ujian ke atas sampel klinikal yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudian mendapati beliau positif bagi jangkitan virus rabies,” katanya.

Isteri pesakit bagaimanapun berada dalam keadaan sihat dan telah melengkapkan jadual vaksinasi antirabies sebanyak empat dos.

Sejak rabies diisytiharkan wabak di Sarawak pada 30 Jun 2017 sehingga semalam, jumlah kes dalam kalangan manusia adalah 13 kes termasuk 12 kematian rabies dengan kadar kematian 92.3 peratus.

Hanya terdapat seorang pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital namun dengan komplikasi neurologi yang teruk dan kini dirawat di rumah. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.