Agong Tunai Solat Sunat Aidiladha Bersama 2,000 Jemaah Di Masjid Al-Ismaili

KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, di sini, pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda jam 8.35 pagi diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob selain Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanudin Hassan.

Solat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Tua Masjid Al-Ismaili, Baharuddin Abdullah, dihadiri lebih 2,000 jemaah.

Selesai solat, khutbah bertajuk ‘Aidiladha Simbol Ketakwaan’ disampaikan Imam Muda masjid itu, Mohamad Hafizuddin Ibrahim, yang memberi penekanan tiada agama lain yang lebih tinggi darjatnya melainkan Islam.

Justeru, katanya, umat Islam perlu bersyukur dan berbangga menjadi umat Islam yang beriman di sisi Allah.

Katanya, Islam agama yang benar, betul dan sah bahkan Allah memberi amaran sesiapa saja mencari agama selain Islam, maka mereka tidak akan diterima di akhirat nanti selain tergolong dalam kalangan insan yang rugi.

“Hari ini, umat Islam menyambut Aidiladha dan mereka yang mampu akan mengerjakan ibadat korban sebagai simbolik bahawa seorang mukmin perlu berkorban masa dan tenaga demi kepentingan Islam.

“Sejarah memaparkan betapa hebat Rasulullah mempertahankan Islam dan umatnya walaupun kafir quraisy menawarkan kedudukan dan harta kekayaan kepada Rasulullah.

“Namun, Rasulullah terus istiqamah dengan pujukan dan dibalas dengan penegasan bahawa baginda tidak akan berundur dengan desakan itu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi, di sini.

Keberangkatan tiba baginda jam 8.25 pagi diiringi oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Rizam Tengku Aziz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.