Tuah Beli Kuih Bahulu, Bawa Pulang Motosikal Baru

TAIPING – Seorang pengunjung tidak me­nyangka memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal jenis SYM Bonus 110 hanya kerana membeli kuih bahulu pada sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak di Kompleks Rakan Muda Larut Matang di sini kelmarin.

 

Bahroraji Abd. Samat, 54, berkata, dia tidak menduga namanya terpilih sebagai pemenang dalam cabutan bertuah tersebut kerana hanya datang ke sambutan Hari Koperasi Negara kelmarin untuk membeli bahulu yang merupakan kuih tradisional kegemarannya.

 

“Semalam saya membeli bahulu dengan harga lebih RM100 dan saya diberi peluang menulis nama untuk cabutan bertuah. Ketika itu saya hanya menulis nama seperti disuruh tanpa berharap untuk menang pun.

 

“Hari ini saya datang semula untuk melawat pameran di sini dan sebenarnya sewaktu pengumuman (pemenang cabutan bertuah) dibuat, saya sudah mahu pulang. Tidak sangka nama saya disebut, syukur,” kata peniaga tersebut ketika ditemui di sini.

 

Karnival Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak selama tiga hari diadakan sempena Program Permukiman kerajaan negeri yang berakhir semalam.

 

Karnival yang dianjurkan di seluruh negara bermula 21 Julai lalu melibatkan 900 buah gerai koperasi, usahawan dan agensi kerajaan malah berjaya menarik seramai 160,000 pengunjung dengan hasil jualan bernilai RM2.6 juta.

 

Bagi penganjuran di Perak, seramai 50 peserta pameran termasuk agensi kerajaan, swasta, koperasi dan usahawan persendirian membuka gerai pameran di sepanjang karnival berlangsung.

 

Tambah Bahroraji, program seperti ini harus diadakan setiap tahun supaya penduduk dapat mengetahui dengan lebih dekat tentang koperasi dan produk yang ada selain dapat membeli dengan harga yang berpatutan.

 

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Zainun Hamzan Stapa berkata, sambutan orang ramai terhadap Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak sangat menggalakkan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!