‘Budak Jahat’ Mohon Maaf

RIO DE JANEIRO – ‘Budak jahat’ Amerika Syarikat (AS), Ryan Lochte memohon maaf kepada rakyat Brazil kerana menokok tambah cerita sewaktu insiden vandalisme berlaku di sebuah tandas stesen minyak dan menyifatkan dirinya sebagai tidak matang dalam temubual dengan Globo TV, kelmarin.

 
“Saya mohon maaf, ia tidak akan berlaku lagi,” kata perenang berusia 32 tahun itu dalam temubual tersebut.

 

Lochte, pemenang enam pingat emas Sukan Olimpik, bersama tiga lagi perenang terkenal AS mencetuskan kontroversi apabila mendakwa mereka telah menjadi mangsa rompakan bersenjata di stesen minyak dekat Rio sewaktu menyertai Sukan Olimpik.

 

“Ini kesalahan saya. Saya bersikap tidak matang,” kata Lochte.

 

Menurut polis Brazil, empat atlet berkenaan telah menokok tambah cerita selepas pengawal keselamatan menangkap mereka kerana melakukan vandalisme di dalam keadaan mabuk di tandas sebuah stesen minyak.

 

Lochte berkata, dia telah mengoyakkan sehelai poster di stesen minyak itu dan mengakui menokok tambah insiden yang berlaku.

 

“Pada satu tahap saya sengaja menokok tambah kejadian yang berlaku. Atas sebab itu saya bersedia memikul tanggungjawab atas kesalahan ini sepenuhnya. Jika saya tidak melakukan perbuatan berkenaan, masalah ini tidak akan berlaku.

 

“Saya tidak menceritakan perkara sebenar, saya hanya memaklumkan sebahagian daripada apa yang terjadi, dan selebihnya saya menokok tambah cerita,” jelas Lochte.

 

Selepas insiden tersebut, Lochte telah pulang ke AS, sementara tiga lagi perenang iaitu Gunnar Bentz, Jack Conger dan Jimmy Feigen masih lagi berada di Brazil.

 

Rabu lalu, hakim di Rio telah memerintahkan pasport ketiga-tiga atlet berkenaan dirampas supaya mereka tidak boleh meninggalkan Brazil untuk memberi laluan kepada soal siasat polis dilaksanakan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.