Skuasy Terbuka Malaysia, Tragedi Buat Nicol

Kuala Lumpur – Buruan angka kesembilan trofi kejuaraan Kejohanan Terbuka Malaysia CIMB yang sebelum ini nampak realistik kini bertukar menjadi tragedi buat ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Pemain nombor satu dunia itu mengejutkan peminat tempatan apabila gagal layak ke final selepas kecundang kepada pemain muda Mesir, Raneem El Weleily di NU Sentral Mall, hari ini.

Dalam saingan separuh akhir, pemain negara berusia 30 tahun kalah 7-11, 11-6, 11-8, 13-11 selepas bermula hebat pada set pertama.

“Raneem bermain skuasy yang hebat hari ini dan saya juga beraksi baik. Saya berpendapat lawan saya sudah tahu jika dia tidak memberi tekanan dan tidak memukul baik saya akan menguasai permainan,” kata Nicol.

“Permainan ini sukar dan dia tidak banyak memberi ruang kepada saya menguasai perlawanan. Dia tajam dan drop shot olehnya berkesan kali ini.”

Pada set pertama, Nicol bermula hebat untuk menang tapi Raneem kembali menyamakan kedudukan sebelum langsung tidak memberi ruang kepada jagoan dunia itu untuk menang dua set berikut dalam tempoh 52 minit.

Dalam final, esok, Raneem akan bertemu rakan senegara, Nour El Tayeb yang menewaskan Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat, 11-9, 11-9, 11-3.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.