Shamsul Iskandar Sifatkan Pendirian Rafizi Ramli Sebagai ‘Syaitan Sasau’?

Shah Alam – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin menyelar golongan berpengaruh dalam PKR yang didakwanya cuba memecah-belah Pakatan Rakyat ketika krisis politik di Selangor memuncak.

Shamsul Iskandar mendakwa “suara sumbang” oleh golongan yang disifatkan sebagai “panglima PKR” itu sanggup mendesak agar parti tersebut keluar dari Pakatan Rakyat dan sanggup kehilangan Selangor.

“Ini adalah bisikan syaitan! Tiada maknanya kita berjuang jika kita tidak menjaga keutuhan Pakatan Rakyat” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK dalam kongres pergerakan itu hari ini.

Menurutnya beliau kesal dengan pihak tertentu yang sanggup kehilangan kuasa di Selangor atau sanggup membiarkan sehingga DUN dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya baru.

“Ini semua adalah pemikiran yang sasau dan tersasar. Jika kita ikuti saranan yang rela kehilangan negeri Selangor atau mahu Dewan negeri dibubarkan, kita seperti di dalam bidalan orang tua Melaka, ibarat peniaga buluh kasap, dapat hujung pangkal lesap,” katanya lagi.

Beliau yang baru dilantik ke jawatan naib presiden PKR bagaimanapun lega kerana ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mudah termakan dengan bisikan itu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berkata partinya sanggup berdepan risiko tersebut kehilangan Selangor sekiranya diadakan pilihanraya negeri.

“Biarlah kami hilang Selangor sekalipun asalkan kami tidak khianat kepercayaan rakyat terhadap kami,” kata beliau selepas sebuah forum di Kuala Lumpur pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya PKR sebenarnya memang mahu menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejurus selepas memenangi 34 dari 56 kerusi Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tahun lalu tetapi dibantah oleh rakan sekutunya DAP dan PKR.

Hal itu juga diakui beliau menyebabkan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali marah kerana sepatutnye beliau yang dilantik sebagai menteri besar.

“Keputusan tukar ADUN itu hak PKR tapi keputusan tukar menteri besar itu adalah milik Pakatan.

“Kalau ada seorang ADUN yang DAP dan PAS setuju kita dah dapat menteri besar baru dua tahun lalu,” kata beliau.

Malah Rafizi turut mengulanggi pendirian partinya itu ketika pihak media memintanya mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Jika kita perlu melakukan pilihan raya negeri untuk menyelesaikan (krisis jawatan menteri besar) dan kita kehilangan negeri dan jika itu berlaku. Saya bersedia, kami bersedia, PKR bersedia. Saya pasti DAP juga bersedia manakala Pas perlu membuat keputusan,” katanya kepada pihak media sebelum ini.

Malah kenyataan Rafizi itu turut dibidas ahli DAP, Aspan Alias yang menyifatkan pendirian itu sebagai sombong dan kekurangan akhlak politik.

“Kata-kata seperti ini melambangkan sikap dan sifat pimpinan PKR dan ia menunjukkan beliau sendiri bersifat angkuh dan rela semuanya hilang asalkan sahaja musuh politik dalam partinya dapat dihapuskan, bagi Rafizi, biar hancur semua, Khalid wajib dibuang dan tidak boleh lagi memegang jawatan menteri besar.

“Saya tidak tahu bagaimana masyarakat memandang Rafizi dengan kenyataannya yang sangat tidak baik matlamatnya dan kekurangan akhlak politiknya” ujarnya sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.