MH17: PM Minta Rakyat Malaysia Bersatu Dalam Doa Yang Sama

Kuala Lumpur – “Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bersatu di kala pilu, bersatu dalam doa yang sama. Tiada kata-kata yang dapat menzahirkan rasa kehilangan apabila menyaksikan jenazah-jenazah itu kembali, doa saya untuk mangsa dan keluarga #MH17,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Twitter beliau.

Beliau meminta semua rakyat bersatu ketika negara berkabung sebagai penghormatan kepada jenazah mangsa tragedi MH17 yang mula dibawa pulang hari ini.

“Hari ini kita meratapi kehilangan rakyat kita. Hari ini kita mula membawa mereka pulang,” tulisnya.

Perdana Menteri sebelum itu menghadiri Upacara Penghormatan Kepada Mangsa Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Kumpulan pertama jenazah rakyat Malaysia dalam tragedi MH 17 tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA jam 9.54 pagi tadi dengan pesawat MH 6129 dari Amsterdam, Belanda.

Manakala, ribuan orang ramai berkumpul di perkarangan luar Kompleks Bunga Raya, KLIA, seawal 7.30 pagi tadi bagi memberikan penghormatan terakhir. Waktu bertafakur selama satu minit diumumkan tepat pukul 10.54 pagi bagi menghormati kesemua jenazah.

Sementara itu, di Putrajaya, lebih 300 umat Islam menyertai solat jenazah ke atas dua jenazah mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, iaitu pramugari MAS, Nur Shazana Mohamed Salleh dan kru teknikal kapal terbang, Ahmad Hakimi Hanapi di Masjid Putra, sebentar tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.