Gagal Hadir Tanpa Alasan: Mahkamah Lucut Hak Jamin RM20,000, Blogger Seks

Kuala Lumpur – Mahkamah Sesyen hari ini melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 terhadap blogger kontroversi Alvin Tan, yang didakwa mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, kerana masih gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan yang munasabah.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas mendapati dua individu yang menjadi penjamin Tan dalam kes itu gagal memenuhi tanggungjawab mereka dalam memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Selepas mendengar penjelasan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan… Bagaimanapun, mahkamah bersetuju untuk hanya melucutkan RM20,000 daripada RM30,000,” katanya.

Tan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin iaitu sepupu, Loo Ching Ching, 44, dan ibunya, All Kim Lian, 57.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee memohon mahkamah melucutkan hak jaminan terhadap Tan secara keseluruhan memandangkan kedua-dua penjamin gagal memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sebanyak dua kali dan menyerahkan jaminan itu kepada kerajaan atau Yang di-Pertuan Agong.

“Kedua-dua penjamin, iaitu sepupu dan ibunya, merupakan orang yang terdekat untuk memastikan kehadiran tertuduh dan mereka tiada usaha dibuat selain menghubungi mangsa dan menghantar mesej,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Chong Joo Tian berkata penjamin terbabit hanya gagal memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah namun mematuhi syarat tambahan lain iaitu melaporkan diri sebulan sekali ke balai polis.

Selain itu, Chong berkata penjamin berjaya memastikan anak guamnya tidak menggunakan sebarang aplikasi teknologi bagi memuat hantar sebarang komen yang boleh mengundang masalah.

Hari ini, sepupu dan ibu Tan hadir ke mahkamah untuk memberi sebab mengapa wang jaminan itu tidak sepatutnya dirampas oleh mahkamah.

Pada 13 Jun lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap blogger itu kerana gagal hadir untuk mengembalikan semula pasport antarabangsanya yang sebelum ini diberikan bagi tujuan melakukan penggambaran di Singapura.

Blogger berusia 26 tahun itu juga gagal hadir ke mahkamah ketika kesnya disebut pada 18 Julai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.