‘Bonda Fly, Kapal Terbang Meletup’

Taiping – “Bonda ‘fly’, kapal terbang meletup”, itulah ungkapan yang keluar daripada mulut comel Aqil Raif Mohd Raflis, 6, anak sulung Ketua Pramugari Azrina Yaakob yang menjadi mangsa dalam tragedi pesawat MH17.

Lebih menyayat hati, anak kecil itu menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini, yang merupakan hari pengebumian jenazah ibu tercinta.

Sepupu rapat Allahyarhamah yang ingin dikenali sebagai Kak Chik Rose, 51, berkata setiap kali ditanya mengenai Azrina, itulah jawapan yang diberikan Aqil Raif.

“Walaupun masih kecil untuk mengerti apa yang terjadi (kepada Azrina) namun anak kecil ini agak faham dengan apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bapa Azrina, Yaakob Silam Sudin, 73, pula melahirkan rasa lega apabila anak perempuannya itu ‘selamat sampai’ dan dikebumikan di sini.

Beliau berkata jenazah Azrina, anak kedua daripada empat beradik, dikebumikan di sini supaya sentiasa berdekatan dengan Aqil Raif dan adiknya, dan Arissa Raisha, 3, yang kini dijaga suami Allahyarham iaitu Mohd Raflis Mohd Tahir, 43.

Bagi ibu Azrina, Habibah Ismail, 65, seluruh anggota keluarganya amat menghargai kerjasama semua pihak bermula daripada usaha membawa jenazah Allahyarham pulang sehinggalah upacara pengebumian selesai.

“Kini semuanya sudah selesai. Makcik akan berada di sini selama tiga hari untuk tahlil sebelum pulang ke Alor Setar,” katanya.

Ketika pengebumian berlangsung, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa menyerahkan Jalur Gemilang kepada Habibah sebagai tanda penghormatan sambil disaksikan seluruh anggota keluarganya.

Meskipun hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Jalan Muzaffar Shah, Assam Kumbang di sini, orang ramai yang berada di situ tidak berganjak sehinggalah talkin selesai dibacakan.

Terdahulu, Raja Jaafar berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Tekah di Assam Kumbang di sini bagi menyambut ketibaan jenazah Azrina yang diterbangkan oleh Helikopter EC725 pada 12.34 tengah hari.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Al-Hidayah untuk disembahyangkan selepas selesai solat Jumaat.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai pramugari di Malaysia Airlines pada 1992.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.