KUALA LUMPUR- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii mendakwa PAS mungkin sengaja mencipta naratif ‘wujud perbincangan bersama pemimpin Umno menjelang PRU16’.
Sedangkan katanya, tiada rundingan rasmi berhubung dakwaan dibuat Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari itu.
Razlan mendakwa kenyataan rambang Fadhli tanpa memperincikan ‘pemimpin berkenaan’ mungkin untuk menutup pertikaian dengan Bersatu selain mahu memecah-belahkan Umno dari dalam.
Eloklah Fadhli tengok hubungan PAS dengan Bersatu yang sedang retak menanti belah, lapor FMT sambil mendedahkan beliau juga ada menerima rungutan daripada akar umbi PAS yang tidak senang dengan Bersatu.
“Mereka tak selesa dengan Bersatu, tapi kita tak bercerita di luar sebab kita tahu itu keluarga PAS dan Bersatu jadi tak perlulah kita nak ungkitkan perkara-perkara itu,” dakwa beliau.
Dakwa Razlan lagi, rasa tidak puas hati itu juga berpunca kerana desakan berterusan Bersatu yang mahu kerusi Perdana Menteri dan jawatan tinggi sekiranya menjadi kerajaan pada masa depan.
Hari ini, sebuah media memetik kenyataan Fadhli mendakwa berlaku beberapa siri pertemuan PAS bersama pemimpin Umno ketika ini, bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU16.
Fadhli berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti, yang dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu.
Mengulas lanjut, Razlan menegaskan sebarang perbincangan kerjasama perlu melalui rundingan rasmi antara pemimpin tertinggi parti, malah keputusan akhir juga hanya boleh dibuat oleh Biro Politik dan persetujuan MKT.
Apa pun keputusan yang dibuat di dalam pucuk pimpinan ia mestilah datang daripada kepimpinan Biro Politik dan keputusan ahli MKT, bukan seperti yang digembar-gemburkan oleh Fadhli ini, katanya.
Beliau menambah PAS juga telah mensia-siakan air mata orang Melayu dan Islam yang mahukan semangat Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS dihidupkan.
“Kita buat cantik dah untuk jalinkan MN tapi bila kita lihat apabila Muhyiddin Yassin menjadi PM tawarkan banyak jawatan kepada PAS, mereka telah buta jawatan dan telah meninggalkan MN.
Jadi bagi saya elok Fadhli jangan keluarkan kenyataan yang sengaja untuk memecahkan orang Melayu lagi, katanya.