KUALA LUMPUR – Semua pelajar dan rakyat Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang sebagai langkah jaminan keselamatan mereka, susulan kemelut tunjuk perasaan yang semakin meruncing di negara itu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bercakap pada sidang media di Wisma Putra hari ini, Mohamad berkata ketetapan tersebut dibuat selepas kerajaan memutuskan menggerakkan pelan evakuasi bagi membawa semua mereka ke tanah air.
Katanya, untuk tujuan itu, kementeriannya juga bekerjasama dengan AirAsia bagi membawa pulang sekurang-kurangnya 193 rakyat Malaysia di sana menggunakan pesawat khas dengan kapasiti 350 penumpang.
“Seperti mana yang kita tahu situasi keselamatan di Bangladesh tidak berapa baik dan assesment yang kita buat ketika ini kita telah mencapai kata putus bahawa plan evakuasi akan kami gerakkan untuk bawa balik pelajar-pelajar kita yang berada di Bangladesh dan juga rakyat Malaysia di sana serta ahli keluarga petugas kita yang berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Dhaka.
“Mula-mula kami mahu sewa kapal terbang dengan kapasiti 250 penumpang tapi selepas itu ambil kira juga rakyat Malaysia yang tidak berada dalam radar kita, yang mahu ikut sama pulang.
“Kita juga baru tahu ada keluarga juruterbang di sana, dalam 10 orang yang nak pulang juga. Jadi kami minta pihak AirAsia hantar pesawat ‘wide body’ ke sana.
“Mana tahu ada saat akhir, ada yang tak daftar dengan kedutaan dan mahu balik. Kadangkala ada pelajar swasta, yang pergi sana, tak daftar dan pergi bersendirian,” katanya, lapor Malaysiakini.
Mohamad berkata demikian selepas melakukan pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar yang masih terperangkap di Bangladesh, di Putrajaya, hari ini.