Polis Tak Tolak Kemungkinan Unsur Jenayah Dalam Ke Kematian Naufal Amsyar

TANGKAK – Polis tidak menolak sekiranya terdapat unsur jenayah penderaan atau pengabaian terhadap kematian bayi berusia 10 bulan, Naufal Amsyar Nabil Fikri Anwar.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, bagaimanapun setakat ini, terlalu awal untuk pihaknya mengandaikan perkara berkenaan ekoran perlu menunggu laporan penuh hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kita juga tidak menolak untuk membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan seandainya terdapat unsur jenayah atau seumpamanya.

“Namun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu dan keputusannya akan bergantung kepada laporan forensik yang dikeluarkan nanti,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, sebentar tadi.

Ujar Mohad Idris, setakat ini siasatan awal mendapati wanita yang juga ibu angkat kepada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Selasa lalu, bayi malang itu sebelum ini dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar setelah dirujuk dari Hospital Tangkak apabila terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.