Saya Pun Teringin Hendak Berkahwin – Dayang Nurfaizah

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah, meluahkan keinginan beliau untuk mempunyai pasangan, sementara usianya kini sudah mencecah 36 tahun, semalam.

Bagaimanapun, kata wanita yang boleh dianggap bersih daripada gosip cinta ini, sehingga kini tiada lelaki yang mendekatinya, jauh sekali untuk cuba berkenalan.

“Jangan bimbang atau takut untuk berkenalan dengan saya. Bukan saya nak makan orang pun.

“Mungkin ada tanggapan kononnya golongan selebriti susah untuk didekati. Hakikatnya, saya sama juga seperti wanita lain.

“Kalau boleh, memang tahun ini saya mahu berteman atau mempunyai teman lelaki. Saya pun teringin hendak berkahwin. Umur saya juga sudah masuk 36 tahun. Memang elok sangatlah saya ada seseorang yang istimewa di hati,” katanya kepada BH Online.

Menyambut ulang tahun kelahirannya lebih awal dalam sebuah majlis kejutan sempena rumah terbuka hari raya syarikat Indigital di Putrajaya, beberapa hari lalu, Dayang mengaku cukup seronok melihat insan di sekelilingnya mempunyai keluarga mereka sendiri.

“Adik saya juga sudah berkahwin, tahun lalu. Saya seronok tengok orang di sekeliling saya memiliki keluarga masing-masing. Jadi, saya juga mahu mempunyai keluarga sendiri seperti mereka,” katanya.

Dayang turut memberitahu, selama ini beliau tidak pernah melalui pengalaman pahit getir dalam bercinta.

“Saya tidak tahu bagaimana perasaan orang bercinta, jauh sekali pernah berasakan pengalaman putus cinta.

“Mungkin kerana saya mula bekerja pada usia yang begitu muda, jadi saya tidak sempat memikirkan soal cinta waktu itu,” katanya yang sudah hampir dua dekad berada dalam dunia hiburan.

Ketika ini, Dayang masih mempromosikan single terbaru, Separuh Mati Ku Bercinta, petikan album solo terkininya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.