PM Rasmi Pembinaan Masjid UMP

PEKAN – Datuk Seri Najib Razak hari ini merasmikan pembinaan Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menggunakan sepenuhnya teknologi hijau, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Mukim Kuala Pahang, dekat sini.

Selain itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan menghadiri Majlis Raikan Syawal Perdana Menteri bersama warga UMP dan Komuniti yang diadakan di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar UMP Kampus Pekan.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Noorul Anuar Mohd Nur; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib; dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Daing Nasir berkata, keunikan masjid dibina di tapak seluas tiga hektar berkenaan terletak pada reka bentuknya yang bersifat mesra alam dengan aplikasi teknologi hijau pada seni binanya bercorak sirip, mengambil kira arah angin dan ventilasi yang mampu menyejukkan ruang solat tanpa menggunakan sistem pendingin hawa.

“Tempoh pembinaan masjid berkapasiti 3,500 jemaah dijadualkan selama 95 minggu dan dijangka siap pada 6 Mac 2019. Ia akan menggantikan masjid sementara di bangunan Pusat Aktiviti Pelajar…Insya-Allah kompleks masjid ini bakal menjadi sebuah hab pembangunan kerohanian serta insaniah komprehensif,” katanya pada majlis itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyampaikan sumbangan RM50,000 bagi pembinaan masjid berkenaan manakala MKG Teguh Enterprise menyumbangkan RM20,000 dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sejumlah RM10,000.

Kira-kira 2,000 orang hadir memeriahkan majlis Raikan Syawal Perdana Menteri bersama warga UMP dan komuniti.

Mengulas lanjut, Daing Nasir berkata, selain menempatkan masjid yang dibuka untuk orang awam kompleks berkenaan akan berfungsi sebagai nadi operasi Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP (PIMPIN).

“Menerusi infrastruktur moden yang serba lengkap, pihak pengurusan komited untuk menjadikan kompleks masjid berkenaan sebagai satu kemegahan serta simbol kejayaan UMP dalam konteks hubungannya dengan masyarakat bukan sahaja tempat beribadah tetapi institusi penyatuan perpaduan serta penyatuan,” katanya.

Warga kerja dan mahasiswa UMP akan turut memainkan peranan dengan mencari dana tambahan bagi pembinaan menara setinggi 45 meter untuk melengkapkan ciri fizikal kompleks masjid berkenaan.

Bagi menyokong usaha itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP akan menggerakkan kempen “Mahasiswa Bina Masjid” di kalangan pelajar, alumni dan komuniti luar. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.