PERKASA: Perhalusi Cadangan Iktiraf India Muslim Sebagai Bumiputera

Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan memperhalusi tuntutan masyarakat India Muslim untuk diberi status bumiputera kepada masyarakat itu yang lahir di negara ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata perkara itu perlu diperhalusi terutamanya dari aspek perlembagaan, perundangan, sensitiviti dan sejarah taraf Bumiputera bagi memastikan tidak timbul sebarang implikasi pada masa akan datang.

“PERKASA hanya memberi pandangan dan peringatan supaya apa juga keputusan penting tidak dibuat dengan tergesa-gesa dan mudah,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perkasa di ibunegara hari ini.

Ibrahim bagaimanapun berharap pendiriannya itu tidak disalah ertikan oleh masyarakat India Muslim di negara ini kerana menegaskan pendirian beliau tentang isu itu adalah bergantung kepada apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas menyatakan kerajaan bersedia untuk meneliti secara mendalam tuntutan komuniti itu untuk diiktiraf sebagai Bumiputera, namun perlu mengkaji cara bagaimana pengiktirafan itu dapat dilaksanakan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.