Perangai Buruk Justin Bieber Bawa Padah

LOS ANGELES – Perangai buruk Justin Bieber membawa padah apabila kerajaan China melarang idola pop itu mengadakan persembahan di tanah besar.

Menurut Reuters, Biro Kebudayaan Perbandaran Beijing berkata, larangan itu penting untuk membersihkan industri hiburan negara dan menjelaskan ia hanya sementara, dengan harapan Bieber memperbaiki tingkah lakunya di atas dan luar pentas bagi mendapat semula sokongan peminatnya.

Penyanyi berusia 23 tahun itu berdepan tindakan undang-undang berhubung dakwaan memandu dalam keadaan mabuk dan berlumba, lapor BH.

Sehubungan itu, larangan sementara ke atas Bieber itu diketahui selepas seorang peminat menyoal biro kebudayaan di laman web pada 16 Julai lalu mengapa penyanyi kelahiran Kanada berkenaan dilarang membuat persembahan di tanah besar sebagai sebahagian konsert jelajah Asia pada September ini.

“Tolong jelaskan mengapa Justin Bieber dilarang datang ke China! Dia menang banyak anugerah besar, yang menunjukkan bakal luar biasanya.

“Mengapa peminat di tanah besar tidak diberikan hak menikmati persembahannya?” soal peminat itu.

Biro Kebudayaan Perbandaran Beijing menjawab tingkah laku buruk Bieber adalah puncanya.

“Kami bersimpati dengan anda. Justin Bieber ialah penyanyi berbakat tetapi juga idola remaja luar yang kontroversi.

“Kami faham dia mempunyai rekod berperangai buruk sama ada dalam kehidupan peribadi atau di atas pentas,” menurut kenyataan biro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.