MRT: Guna Kad Touch ‘n Go Sama Untuk Kadar Istimewa Parkir Kereta

KUALA LUMPUR – Pengguna Transit Aliran Massa (MRT) dinasihatkan supaya menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama apabila menggunakan kemudahan ‘Park and Ride’ di laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) bagi menikmati kadar RM4.30 bagi sekali masuk.

Pengarah Strategik Komunikasi dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata mereka yang gagal menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama untuk tujuan itu akan dikenakan bayaran meletak kereta pada kadar penuh walaupun menaiki tren menggunakan kad berlainan atau token.

“Kad sama yang digunakan apabila memasuki Park and Ride perlu digunakan di pintu masuk stesen untuk membayar tambang sebelum menaiki tren MRT kerana hanya ini caranya untuk membezakan siapa yang sudah meletakkan kenderaan dan kemudian menaiki tren dan siapa yang belum,” katanya dalam kenyataan semalam.

Najmuddin mengulas mengenai beberapa aduan daripada pengguna kemudahan Park and Ride yang tidak dikenakan caj RM4.30 untuk setiap kemasukan dan terpaksa membayar lebih walaupun menggunakan perkhidmatan MRT.

Beliau berkata, pengguna perlu menyentuh kad semasa masuk dan keluar sekembalinya di stesen yang sama, bagi menikmati kadar caj rendah di Park and Ride.

“MRT Corp akan menambah lebih banyak papan tanda di Park and Ride untuk menjelaskan apa yang perlu dilakukan supaya pengguna dapat menikmati caj RM4.30 bagi setiap kemasukan untuk mereka yang menggunakan kemudahan MRT,” tambahnya.

Beliau berkata keistimewaan itu hanya boleh didapati di kemudahan Park and Ride di Sungai Buloh, Phileo Damansara, Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih.

Kemudahan parkir di sepanjang laluan SBK seperti Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Pusat Bandar Damansara dan Kajang, dimiliki dan dikawal oleh pihak ketiga.

“Pengguna boleh menghubungi operator parkir berkenaan untuk sebarang isu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.