Lelaki Cuba Larikan Remaja Perempuan Ditahan

Seorang lelaki warga tempatan yang cuba melarikan seorang remaja perempuan malam semalam di Kota Tinggi berjaya ditahan hasil bantuan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditangkap orang awam selepas kereta yang dibawanya sewaktu cuba melarikan mangsa yang berusia 15 tahun itu, terbabas di tepi jalan lalu melanggar sebuah pokok.

Sebelum itu, suspek yang seorang diri telah bertindak menarik mangsa dan cuba melarikan mangsa yang ketika itu bersama kawan-kawan ketika berada di hadapan sebuah kedai runcit Simpang 3, Bukit Samsu, dekat Kota Tinggi.

“Bagaimanapun, mangsa telah bertindak melepaskan diri melalui pintu kereta yang belum dikunci. Mangsa cedera pada tangan, kaki dan badan akibat jatuh di atas jalan. Suspek kemudiannya terus melarikan diri dan terbabas di tepi jalan lalu melanggar pokok.

“Orang awam yang menyedari (kejadian itu) terus menangkap suspek dan menyerahkannya pada pihak polis,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati terdapat suspek mempunyai dua rekod kes dedah.

“Motif masih dalam siasatan termasuk pengesahan pakar sama ada terdapat pengaruh kesan dadah pada suspek berdasarkan rekod lampau kes dadah pada suspek,” kata Ahsmon.

Beliau turut memuji keberanian mangsa dan keprihatinan orang awam yang telah menahan suspek selepas menyedari kejadian tersebut.

 

Selain itu, ibu bapa dinasihati supaya tidak membiarkan anak mereka di luar tanpa ditemani orang dewasa.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara dan denda.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.