Kes Pecah Masuk Pejabat, KP JPJ Serah Pada Polis

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron meminta masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung kejadian pejabatnya dipecah masuk baru-baru ini dan menunggu hasil siasatan polis.

Katanya beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan wujud cubaan untuk menjatuhkannya selaku ketua pengarah JPJ.

“Kita serah kepada polis untuk siasat jika wujud dalang di sebalik kejadian pejabat saya dipecah masuk,” katanya kepada pemberita di majlis makan malam danperasmian kursus kecemerlangan dan kecergasan JPJ, di Kuala Nerus malam tadi.

Nadzri turut menafikan kejadian itu ada kaitan dengan kes Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ Datuk Yusof Ayob yang didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya Selasa lalu, kerana kesalahan memandu di lorong kecemasan.

“Bagi kes Datuk Yusof pula tidak kira siapa yang buat kesalahan perlu diambil tindakan. Kita mesti patuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya

Menurutnya susulan kes berkenaan, JPJ akan membuat tapisan lebih rapi dan memperketatkan syarat pengambilan pegawai yang akan ditempatkan di Unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ.

 

Pihaknya juga menggantung dahulu aktiviti PTK, katanya.

Susulan kejadian pecah masuk pejabat ketua pengarah JPJ pada 13 Julai lalu, tiga anggota PTK ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.