Jalan Sepanjang Persiaran KLCC Ditutup Untuk Naik Taraf

Jalan di sepanjang Persiaran KLCC (menghala utara) akan ditutup untuk tempoh bermula dari 24 Julai hingga 11 Okt, 2017 untuk kerja-kerja menaik taraf.

Bachy Soletanche Group (BSG) Construction (Malaysia) Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata kerja-kerja penambahbaikan trafik di sepanjang Lorong Kuda, Persiaran KLCC dan persimpangannya akan dijalankan secara berperingkat.

Ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf terowong sedia ada antara Jalan Tun Razak dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC, dari Julai 2017 hingga Februari 2020.

Kerja-kerja itu juga akan memberi laluan kepada pembinaan stesen transit Aliran Massa (MRT) di Jalan Binjai dan kerja-kerja menaik taraf jalan dan laluan pejalan kaki.

“Dalam fasa pertama bermula 24 Julai, laluan pejalan kaki akan akan ditutup di lorong sebelah kiri dari kedua-dua arah Persiaran KLCC menghala Jalan Binjai,” kata kenyataan itu.

Penutupan ini, untuk laluan sejauh 50 meter, ialah antara kondominium Binjai On The Park dan persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC–Lorong Kuda.

Kesesakan dijangka berlaku di sepanjang Jalan Tun Razak (menghala Seremban) dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC dalam tempoh pembinaan. Laluan alternatif akan disediakan sepanjang tempoh pembinaan.

Setelah kerja-kerja penambahbaikan trafik di kawasan ini siap, pengguna kenderaan boleh melakukan perjalanan antara Jalan Tun Razak (menghala Seremban) dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC sepenuhnya di bawah tanah tanpa perlu memasuki persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC–Lorong Kuda, menurut kenyataan itu.

“Apabila kerja-kerja pembinaan di terowong siap, pintu masuk dan keluar tempat letak kereta bawah tanah KLCC yang sedia ada, terletak di sepanjang Persiaran KLCC–Jalan Binjai, tidak lagi akan disediakan kepada awam.

“Bagaimanapun, kedua-dua arah Lorong Kuda membolehkan pengguna jalan raya untuk masuk dan keluar dari terowong, kedua-dua menghala tempat letak kereta bawah tanah KLCC dan menghala Jalan Tun Razak (menuju Seremban),” kata kenyataan itu.

Ia menambah laluan pejalan kaki dan laluan logistik ke Taman KLCC, juga akan ditutup tetapi laluan pejalan kaki yang baharu akan disediakan untuk orang ramai sehingga persimpangan Persiaran KLCC-Lorong Kuda.

 

Mengenai pembinaan MRT, lorong paling kiri Persiaran KLCC (menghala Utara) akan ditutup untuk sepanjang 50 meter, bermula dari kawasan kerja pembinaan MRT sebelah Binjai on The Park sehingga persimpangan Persiaran KLCC-Lorong Kuda.

Bagaimanapun, pengguna masih boleh melalui jalan itu kerana dua lorong akan disediakan untuk pengguna jalan raya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.