Israel Sekat Lelaki Bawah 50 Tahun Masuki Masjid Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS – Polis Israel menghalang lelaki berusia 50 tahun ke bawah memasuki Kota Lama untuk solat Jumaat di Masjid al-Aqsa ketika ketegangan semakin meruncing disebabkan kawalan keselamatan baharu di tempat suci itu.

Menurut AFP, langkah itu dibuat selepas menteri-menteri Israel memutuskan untuk tidak menarik balik pemasangan alat pengesan logam di hadapan pintu masuk pekarangan masjid tersebut yang dinamakan oleh bangsa Yahudi sebagai Temple Mount.

Pemasangan alat berkenaan dibuat susulan satu serangan berhampiran kawasan itu minggu lalu yang mengorbankan dua anggota polis Israel.

“Kemasukan ke Kota Lama dan Temple Mount akan dihadkan kepada lelaki berusia 50 tahun ke atas. Wanita dalam semua usia juga dibenarkan masuk,” menurut satu ke­nyataan polis, seperti memetik Kosmo.

Situasi semakin tenang selepas polis memasang alat pengesan logam yang dilihat oleh rakyat Palestin dan masyarakat Islam lain sebagai satu usaha oleh Israel untuk mengawal tempat suci itu.

Amerika Syarikat dan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Asia Barat menyatakan kebimbangan mereka berhubung kontroversi terbaharu itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa Israel supaya membuang alat pengesan logam itu. Beliau bercakap menerusi panggilan telefon kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan Presiden Israel, Reuven Rivlin kelmarin.

Melalui perbualan itu, Erdogan menggesa Rivlin segera membuang alat pengesan logam ‘dalam rangka kerja kebebasan beragama dan beribadat’.

“Melihat kepada kepentingan Masjid Haram al-Sharif untuk masyarakat Islam sedunia, alat pengesan logam yang dipasang Israel harus dikeluarkan dalam tempoh secepat mungkin dan menamatkan ketegangan ini,” kata Erdogan.

Rakyat Palestin enggan memasuki kawasan pekarangan masjid itu sebagai bantahan kepada pemasangan alat pengesan logam dan beratus-ratus umat Islam menunaikan solat di luar tapak berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.