Iltizam Awie, Cuti Bersama Keluarga Setiap Syawal

KUALA LUMPUR: Vokalis Wings, Datuk Awie mahu menjadikan percutian bersama keluarga pada setiap kali sambutan Syawal sebagai tradisi hari raya mereka.

Biarpun suasana Aidilfitri di negara jiran berbeza jika dibandingkan dengan suasana di tanah air sendiri, pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, 48, itu ingin menggunakan peluang terbabit sebagai minggu berkualiti bersama insan kesayangannya.

“Beraya di Thailand, baru-baru ini umpamanya, tidak sama dengan sambutan raya di sini kerana hari raya kedua, kita sudah memakai pakaian biasa. Mereka juga tiada juadah seperti rendang, kuah kacang dan sebagainya.

“Namun, itu semua tidak penting kerana paling utama saya dapat meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak selepas sepanjang tahun terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Kalau boleh saya mahu menjadikan tradisi membawa famili bercuti sempena Aidilfitri sebagai rutin setiap tahun, namun destinasi seterusnya bergantung kepada cadangan semua ahli keluarga.

“Seperti biasa, saya juga lebih suka melakukan aktiviti percutian ini secara spontan. Bukan apa, bimbang ia tidak menjadi selepas puas membuat perancangan awal,” katanya yang menyambut 1 Syawal di Songkhla.

Terdahulu, penyanyi yang mempunyai lima cahaya mata itu melangsungkan perkahwinan dengan Sharifah Ladyana di lokasi sama pada 7 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Arni Nazira Anuar, pada 1998 namun hanya bertahan lapan tahun. Beliau kemudian menikahi Rozana Misbun pada 2006, tetapi kedua-duanya tidak lagi tinggal sebumbung sejak 2014.

Menerusi perkahwinan dengan Arni, Awie dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha, manakala bersama Rozana pula, mereka dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.-Bhrian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.