Felda Perintis Kemajuan Di Kawasan Luar Bandar

SEJARAH awal penubuhan Felda dilatari dengan pelbagai cabaran dan kesusahan yang gigih ditempuh oleh peneroka demi membina sebuah kehidupan lebih baik dan terjamin.

Berbekal semangat kental untuk meneruskan kelangsungan hidup selesa di masa depan, sejumlah 400 orang peserta terawal dipilih mengikuti program penempatan di tanah rancangan Felda pertama dibuka iaitu Lembah Bilut, Bentong sekitar awal 1958.

Bersandarkan tulang empat kerat, kelompok peneroka terawal ini bukan sahaja perlu berdepan ancaman serangan binatang buas, malah mereka turut gigih dan cekal memerah keringat menebang hutan belantara untuk dijadikan kawasan penempatan baharu dengan tumpuan terhadap aktiviti penanaman getah.

Kesemua peneroka mengikuti skim pertama penempatan semula ini telah melakukan berbagai jenis kerja tanpa menggunakan peralatan moden termasuklah bagi kerja-kerja menebang pokok serta menebas hutan yang dilakukan secara bergotong royong,

Pada pemulaan kehidupan mereka yang rata-ratanya bujang amat daif dan hanya tinggal di rumah panjang yang berdindingkan buluh serta beratap nipah sebelum dibenar membina rumah masing-masing setelah melangsungkan perkahwinan.

Walaupun hidup susah, kesemua pasangan yang menetap jauh di pedalaman dan terasing dari segala kemudahan tidak pernah menghalang mereka untuk merukuni kehidupan berumah tangga dengan bahagia dan seadanya.

Semangat kepenerokaan tinggi peserta di rancangan Felda Lembah Bilut menjadi perintis penting terhadap usaha pembangunan tanah di luar bandar sebagai usaha membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan malah lokasinya berkembang menjadi kawasan penempatan yang tersusun dan berstruktur, selain turut mengubah lanskap pembangunan di sekitarnya.

Perancangan strategik kepemimpinan kerajaan ketika itu ternyata membuahkan hasil kemakmuran bagi peneroka apabila Akta Pembangunan Tanah (GSA) digazetkan pada 1960 menjadi penanda awal terhadap usaha menyelaras serta mengkoordinasi semua rancangan memajukan tanah secara berkelompok

Selain menempatkan rakyat di kawasan baharu, program pembangunan yang dilaksanakan juga adalah sebahagain usahal kerajaan untuk memberikan tanah kepada mereka yang tidak bertanah sebelum ini.

Agenda nasional direncana hasil kebijaksanaan kepemimpinan terdahulu bukan sahaja berjaya mengubah hala tuju kehidupan masyarakat di luar bandar, malah pelopor bagi rancangan dan proses pembangunan tanah Felda, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak mensasarkan usaha penempatan penduduk di kawasan baharu itu sebagai salah satu cara mengatasi kemiskinan dalam kalangan 60 peratus masyarakat luar bandar ketika itu yang kebanyakannya adalah petani, nelayan dan penternak kecil-kecilan.

Setelah konsep serta rancangan pembangunan tanah diperkenalkan kerajaan secara rasmi melalui Buku Hijau, Felda menjadi ‘Master Plan’ terpenting dalam memperkasakan penduduk di luar bandar yang boleh menikmati pelbagai keistimewaan termasuk pekerjaan tetap dan memiliki sebidang tanah setiap seorang,

Menjelang tahun 1990-an proses pengambilan dan penempatan peneroka telah dihentikan sepenuhnya dan sejumlah 317 tanah rancangan Felda berjaya di buka di seluruh negara sambil dihuni lebih 114,000 keluarga peneroka yang diurus tadbir melalui pejabat Felda Wilayah di 10 zon berbeza,

Sejak awal penubuhan Felda secara rasmi pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956, beberapa objektif utama penubuhannya telah mencapai sasaran apabila program pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat di kawasan baharu telah membantu proses membasmi kemiskinan apabila kalangan peneroka mula meraih pendapatan tetap hasil aktiviti penanaman kelapa sawit dan getah.

Hasil perancangan strategik dibuat menyaksikan Felda kini bukan sekadar terlibat dalam pembangunan tanah dan pembangunan aktiviti perladangan, malah agensi yang menjengah usia 61 tahun itu turut terlibat aktif dalam bidang perindustrian dan komersial teramasuk pemprosesan minyak sawit, pengasilan anak benih getah dan sawit serta memiliki berbagai aset strategik meliputi hartanah, bangunan dan sebagainya.’

Buktinya, warga peneroka yang kini memasuki generasi kedua dan ketiga tidak lagi dibebani oleh masalah kemiskinan, malah lebih membanggakan komunitinya ketika ini hidup selesa dan mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang sehingga ada yang bergelar professional, berjawatan tinggi malah tidak kurang juga yang sudah ada yang bertaraf jutawan

Felda kini dilihat komited menjalankan peranan menyediakan kemudahan lengkap dan moden di rancangan bagi memastikan generasi baharunya berpendidikan tinggi seterusnya mampu meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup di rancangan FELDA yang disasar mampu merapatkan jurang antara bandar dan kawasan luar bandar selain berperanan sebagai pusat ‘ Economic Powerhouse ’ yang terlibat di dalam pelbagai aktiviti ekonomi berimpak tinggi menjelang tahun 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.