Eizlan Potong 14 Kek Hari Jadi Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Aktor, Datuk Eizlan Yusof, berkongsi keterujaan menerima 14 kek sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-46, tahun ini.

Eizlan berkata, sepanjang 45 tahun hayatnya, beliau tidak pernah menerima sambutan hari jadi semeriah itu.

Terkejut bercampur gembira, Eizlan berasa cukup terharu dengan kasih sayang yang diberikan oleh mereka di sekelilingnya.

“Sejak 14 Julai lalu, saya sudah memotong kira-kira 14 biji kek sempena hari jadi pada tahun ini. Tidak sangka, pada usia sebegini, semakin meriah pula saya menyambut ulang tahun kelahiran.

“Kebetulan, hari jadi anak saya jatuh pada tarikh yang sama, jadi keutamaan selalunya diberikan kepada anak. Mungkin sebelum ini rakan yang prihatin melihat saya lebih banyak menyambut hari lahir anak berbanding diri sendiri, jadi tahun ini mereka ‘all out’.

“Malah, saya turut menerima kiriman kek ulang tahun yang tidak disertakan dengan nama pemberi. Jadi, terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang banyak bersusah payah meraikan hari jadi saya kali ini,” katanya kepada BH Online.

Eizlan berkongsi mengenai sambutan hari jadinya itu ketika ditemui di sidang media drama rantaian 100 episod, Dendam Aurora, di sini.

Sementara itu, Eizlan turut berterima kasih kepada bekas isterinya, Vie Shanti, yang sentiasa mengizinkan beliau berjumpa anak-anak secara bebas.

“Saya tidak terasa sunyi kerana dia (Vie Shanti) banyak memberikan kerjasama untuk mengambil anak-anak. Apabila ada masa terluang, saya akan berjumpa anak-anak tanpa ada batasan,” kata Eizlan.

Eizlan dan Vie Shanti berpisah pada 2015 selepas lapan tahun hidup sebagai suami isteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.