Cipta Tudung Padankan Dengan Kostum Anime, Disney

JAKARTA – Golongan wanita muda Islam di Asia Tenggara kini dikatakan bukan sahaja menjadikan bertudung sebagai fesyen, malah akhir-akhir ini bertukar kepada rekaan dalam bentuk kostum kreatif.

Menurut Reuters, seorang wanita, Sind Yanti berkata, dia menjadikan bentuk tudung yang dipakainya kelihatan se­perti rambut wanita untuk dipadankan dengan gaun ala Cinderalla.

“Memakai tudung tidak menjadi penghalang kepada semua perkara. Kami bebas untuk menjadi krea­tif,” ujar pereka fesyen berusia 24 tahun tersebut yang merupakan pencinta cosplay iaitu kumpulan pemakai kostum pelik, seperti memetik Kosmo.

Sehubungan itu, beliau antara kumpulan wanita muda Islam yang mengambil bahagian dalam cosplay berhijab dengan cara kreatif untuk menutup kepala sambil memakai kostum fantasi berwarna-warni.

Cosplay berhijab merupakan fenomena baharu yang semakin berkembang dalam kalangan komuniti Islam.

Fesyen Sind diinspirasikan daripada watak Disney dan karakter anime Jepun dengan rekaan tudung berseni menyerupai rambut palsu atau penutup kepala. Sind menegaskan dia masih mengekalkan tuntutan agama dalam berpakaian.

Rekaan kostum Sind bernilai antara 250,000 rupiah (RM80) hingga 500,000 rupiah (RM160).

Cosplay turut popular di negara jiran Islamnya, Malaysia apabila golongan wanita muda memakai kostum seperti adi wira, pah­lawan dan puteri fantasi dalam satu acara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara yang mengambil bahagian ialah Nursyamimi Minhalia yang memakai tudung hitam dipotong untuk membentuk seperti rambut hadapan dengan dua ikatan di kedua-dua belah rambut.

“Ia sangat mencabar. Kebiasaannya saya memilih karakter menutup seluruh badan supaya senang untuk menggayakannya dengan gaya Muslimah,” ujarnya.

Kostum berwatak yang kebiasaannya mempamerkan pakaian terdedah dan gaya rambut terperinci, telah menjadi sebahagian daripada budaya dikaitkan dengan anime dan komik.

Sind memberitahu, dia membantu untuk kekal kepada kepercayaannya sambil berhibur ketika menyertai acara cosplay.

“Jika saya buka tudung semata-mata kerana cosplay, saya akan berasa sedih. Ia seperti ada konflik dalam diri saya,” ujar Sind.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.