Padah Bergurau Bawa Bom, Suami Isteri Ditahan

BALIK PULAU – Padah bergurau kononnya beg dibawa mengandungi bom, sepasang suami isteri warga Indonesia yang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, ditahan pihak berkuasa petang semalam.

 

Pasangan suami isteri berusia 48 dan 45 tahun itu ditahan jam 5.55 petang ketika berada dalam pesawat AirAsia untuk berlepas ke Jakarta.

 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar, berkata pasangan itu pada mulanya diminta pramugari untuk meletakkan beg yang dibawa di kompartmen disediakan dalam pesawat, namun tiba-tiba mendakwa beg berkenaan mengandungi wang dan bom.

 

Katanya, sebagai langkah keselamatan pramugari berkenaan memaklumkan kepada penyelia dan pihak keselamatan.

 

“Pasangan itu kemudian ditahan dan hasil siasatan mendapati mereka datang ke Pulau Pinang untuk menjalani rawatan apabila salah seorang daripada mereka mengalami masalah jantung sejak 17 Julai lalu.

 

“Ketika disiasat, suspek lelaki mengaku cuba bergurau dengan pramugari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini sebentar tadi.

 

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh atau denda atau kedua-duanya sekali.

 

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 10(3) Akta Penerbangan Awam. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.