DAP Gelabah Bila Lim Guan Eng Diheret Ke Mahkamah – PAS

KUALA LUMPUR – PAS menyifatkan cadangan DAP untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di Pulau Pinang memberi gambaran jelas bahawa parti sosialis itu gelabah apabila Ketua Menteri, Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

 

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sikap gelabah itu jelas ditunjukkan apabila DAP menangguhkan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti ke tahun depan.

 

Beliau turut mempertikaikan kewajaran DAP bersendirian menentukan kerajaan sedangkan Pulau Pinang bukan hanya diperintah parti itu sahaja.

 

“DAP pernah mengumumkan kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan pakatan harapan. Adakah wajar DAP sahaja menentukan kerajaan? Sekurang-kurangnya babitkan PKR (Parti Keadilan Rakyat) sebagai sekutunya sekalipun DAP dominan,” katanya ketika dihubungi BH, kelmarin.

 

DAP sebelum ini mengakui pilihan raya mengejut di negeri itu adalah satu daripada pilihan kepemimpinan kerajaan negeri berkenaan selepas Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

 

Selasa malam, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ditemui pemberita selepas selepas mingguan biro politik PKR di ibu pejabat parti itu berkata, PKR belum diyakinkan dengan matlamat mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan rakyat Pulau Pinang tidak seharusnya dibebani dengan PRN mengejut semata-mata demi memperjuangkan nasib seorang pemimpin DAP.

 

Bagaimanapun, katanya, PAS sudah mengarahkan seluruh jentera parti bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

 

“PAS melihat tiada keperluan bagi `snap elaction’ (pilihan raya mengejut) hanya kerana kes seorang pemimpin dan rakyat tak sepatutnya dibebani dengan PRN,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.