34 GRO Warga Asing Ditahan Di Pusat Hiburan P. Pinang

GEORGETOWN – Sebanyak 34 wanita rakyat asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di dua pusat hiburan di negeri ini ditahan dalam operasi awal hari ini.

 

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Fairuz Ismail berkata, 23 wanita ditahan dalam serbuan pada 1 pagi di pusat hiburan Jalan Perai 4, di Perai, dan 11 wanita ditahan dalam serbuan di Plaza Gurney di sini.

 

Pemeriksaan di pusat hiburan di Perai itu mendapati 14 wanita Vietnam, tujuh wanita China dan dua wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO di situ bekerja tanpa permit yang sah dan menyalahguna pas lawatan sosial, katanya di sini hari ini.

 

Beliau berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan di Plaza Gurney pula terdiri daripada enam wanita China dan lima wanita Vietnam.

 

“Kedua-dua premis hiburan itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya.

 

Sementara itu, seramai 38 rakyat asing ditahan hasil pemeriksaan di beberapa restoran dan rumah kongsi di sekitar daerah Timur Laut, semalam.

 

Mereka yang ditahan dalam pemeriksaan bermula 5 petang semalam itu terdiri daripada 21 lelaki Myanmar, enam lelaki Bangladesh, empat lelaki Pakistan, tiga lelaki India, seorang lelaki Filipina dan dua wanita Indonesia bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

 

“Semua warga asing itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahguna pas lawatan sosial,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.