Tiada Pekerja 1MDB Ditahan Reman

Shah Alam – Syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan hari ini mengulangi komitmen untuk memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan terhadap syarikat itu.

 

Melalui kenyataan sama, 1MDB turut menjelaskan bahawa tiada pekerjanya yang ditahan reman setakat ini.

 

“1MDB mengambil maklum mengenai laporan media terhadap individu yang telah ditahan reman oleh mahkamah majistret berhubung dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas. Tiada pekerja 1MDB berada di bawah tahanan reman.

 

“1MDB mengulangi komitmen kami untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan ke atas 1MDB,” kata kenyataan itu.

 

Hari ini, seorang pengarah sebuah syarikat swasta direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan membabitkan akaun 1MDB.

 

Majistret Lau Eric mengeluarkan perintah untuk menahan reman lelaki berusia 39 tahun itu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

 

Lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi oleh pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan berhubung akaun 1MBD.

 

Suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga, tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 8.30 pagi dan diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.