The Reds Tiba Di Malaysia

Kuala Lumpur – Kelab Bola Sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool atau lebih dikenali sebagai The Reds yang tiba di Saujana Hotel Resort, Subang, malam tadi, menerima sambutan selamat datang gaya Malaysia daripada peminat tempatan.

 

The Reds tiba di hotel itu pada jam 9 malam dan disambut dengan paluan kompang, kalungan bunga dan sorakan ‘You’ll Never Walk Alone’ serta dendangan lagu kelab daripada kira-kira 100 penyokong setia.

 

Liverpool dijangka menurunkan kesebelasan utamanya ketika menentang skuad pilihan Dollah Salleh pada Jumaat malam di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

 

“Kami (peminat) mahu mengambil peluang ini untuk melihat pemain secara dekat dan menyaksikan permainan mereka secara langsung di negara kami sendiri.

 

“Saya harap mereka akan menikmati makanan di sini dan walau apa pun kami akan tetap menyokong mereka,” kata seorang peminat tegar, Mohd Aizad Hassan.

 

Seorang lagi peminat, S Puvarasan berkata, beliau serta rakannya amat teruja dengan ketibaan Liverpool dan tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan Jumaat ini.

 

“Kami menunggu di sini selama lima jam untuk melihat pemain dan gembira kerana akhirnya berjumpa mereka. Untuk (Steven) Gerrard kami akan merinduinya tetapi kami yakin akan ada Gerrard yang lain tidak lama lagi di Anfield,” kata peminat berusia 29 tahun itu.

 

Satu sidang akhbar dijadualkan berlangsung pada Rabu ini di hotel berkenaan, manakala sesi latihan rasmi dijadualkan Khamis ini, di Stadium Nasional.

 

Selain itu, The Reds juga dijadualkan terbabit dalam pelbagai aktiviti dengan peminat tempatan sepanjang kehadiran mereka di Malaysia.

 

The Reds memulakan jelajah pramusim mereka dengan menewaskan Thai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai lalu sebelum menewaskan pasukan A-League, Brisbane Roar 2-1, Jumaat lalu dan menang 2-0 ke atas Adelaide United, di Australia, semalam.

 

Kelab Inggeris itu akan meneruskan jelajah ke Eropah Utara untuk perlawanan terakhir pramusim mereka menentang pasukan Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos di Stadium Sonera, Helsinki, yang boleh memuatkan 10,770 penonton. Tiket perlawanan pilihan Malaysia menentang Liverpool dijual pada harga RM58 (pelajar), RM88, RM158 dan RM228.

 

Tempat duduk utama (VIP) dijual pada harga RM328 dan RM428. Tiket kini boleh dibeli secara dalam talian di ticketpro.com.my, talian hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro selain cawangan New Balance and Sports Empire. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.