Sarawak Report Akan Saman Rahman Dahlan Dan Akhbar NST

Kuala Lumpur – Sarawak Report hari ini berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang menteri Umno, akhbar pro-kerajaan New Straits Times dan beberapa pihak lain kerana pembohongan “berniat jahat” memusnahkan kredibilitinya.

 

Portal pemberi maklumat itu membidas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kerana menggunakan perkataan “scum” (sampah) terhadap pengasas dan editor laman itu, Clare Rewcastle-Brown, dan kerana melabelkan siasatannya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai “pembohongan terang-terangan”.

 

Sarawak Report, yang memainkan peranan penting dalam kontroversi 1MDB melalui pendedahan yang dibuatnya, juga menyelar Rahman kerana menggunakan wartawan Lester Melanyi untuk menjatuhkannya.

 

“Kononnya ketua komunikasi strategik BN ini, Abdul Rahman Dahlan, seorang menteri perumahan, atas asas yang sama membuat fitnah melampau ke atas penulis, memanggilnya ‘sampah’ dan melabelkan penyelidikan kami sebagai ‘pembohongan terang-terangan’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

 

“Encik (Rahman) Dahlan tidak menunjukkan satu bukti pun yang boleh membuatkan sesiapa percaya kata-kata seorang muflis yang tidak seimbang akalnya, Lester Melanyi. Oleh itu, kami mendakwanya atas tuduhan fitnah jenayah, didorong oleh niat jahat.”

 

Melanyi sebelum ini mengeluarkan video “pengakuan” mendakwa pihak pembangkang dan Sarawak Report berpakat secara sulit memalsukan dokumen 1MDB dalam kempen menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

Rahman merujuk kepada video Melanyi yang mendakwa Sarawak Report mengubahsuai dan memalsukan dokumen 1MDB. Menteri itu kemudiannya meminta agar laman web itu disiasat.

 

Ini disusuli tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses tempatan ke Sarawak Report beberapa hari lalu.

 

Menurut Sarawak Report, pemfitnahnya sudah “melampaui batas” dalam kritikan mereka terhadapnya, dan berkata ia digunakan sebagai alasan Putrajaya menyekat laman itu.

 

“Sejak beberapa hari lepas, pihak tertentu yang mendakwa mewakili kerajaan dan rakan media mereka sudah melampaui batas.

 

“Mereka mempamerkan seorang individu (Melanyi) yang tidak betul dan tidak boleh dipercayai, yang menabur pelbagai pembohongan, sementara tiada seorang pun daripada mereka cuba memeriksa kesahihannya, bagi mendakwa ia ‘bukti’ yang penyelidikan kami semuanya ‘palsu’.

 

“Ini sesuatu yang lucu kerana sangat tidak masuk akal, dengan adanya bukti begitu banyak yang menyokong semua kami tulis. Tetapi menteri pula menggunakan watak ini, dan fitnah yang tidak munasabah ini, sebagai alasan mengarahkan sekatan internet terhadap Sarawak Report,” katanya.

 

Selain tindakan undang-undang, Sarawak Report berkata ia kini berunding dengan peguamnya untuk melaporkan Rahman kepada polis, sambil menambah tindakan sama akan diambil terhadap akhbar milik Umno, NST.

 

Sejak berita video pengakuan Melanyi itu tercetus, ramai yang menimbulkan keraguan terhadap kredibilitinya, termasuk menteri kanan Sarawak Tan Sri James Masing.

 

Ketika mengumumkan video pengakuan Melanyi itu, Rahman berkata terdapat “bukti kukuh” yang disertakan dalam laporan polis yang dibuat Ramesh Rao Krishnan Naidu, presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mesra-BN.

 

Dalam laporan polis itu, Melanyi dinamakan sebagai bekas pengarang Sarawak Report, tetapi ia dinafikan Rewcastle-Brown yang berkata beliau tidak pernah bekerja dengan laman web yang berpangkalan di London itu.

 

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua juga berkata beliau akan menyaman Melanyi jika tidak menarik balik dan memohon maaf atas dakwaan yang dibuatnya terhadap beliau dalam video itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.