Manila Hantar Jet, Kapal Perang Di Teluk Subic

Manila – Kerajaan Filipina merancang meletakkan sejumlah jet pejuang dan beberapa buah kapal perang di bekas pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang berdepan Laut China Selatan ketika Manila menghadapi konfrontasi maritim dengan China.

 

Ketua Hal Ehwal Awam Jabatan Pertahanan, Arsenio Andolong berkata, semua persenjataan itu akan diletakkan di Teluk Subic, sekitar 200 kilometer dari sebuah beting pasir di utara Filipina yang dikuasai tentera China.

 

“Angkatan bersenjata Filipina akan menggunakan sebahagian Teluk Subic untuk meletakkan aset baru seperti jet pejuang FA-50 dan beberapa kapal perang yang bakal tiba,” kata Andolong.

 

“Fasiliti di Subik adalah ideal. Lokasi itu mempunyai pelabuhan air dalam dan lapangan terbangnya sempurna untuk jet FA-50,” tambahnya.

 

Pada minggu lalu, Manila menyatakan, ia akan membuka semula Teluk Subic yang ditutup lebih dua dekad lalu dan meletakkan aset ketenteraan Filipina untuk kali pertama di lokasi tersebut.

 

Teluk Subic pernah menjadi antara pangkalan tentera AS terbesar di luar negara.

 

Lokasi itu kini dijadikan pelabuhan kormesial dan destinasi pelancongan. Teluk berkenaan berdepan Laut China Selatan di mana China bertelagah dengan Filipina di samping Brunei, Malaysia, Vietnam dan Taiwan berhubung beberapa tuntuntan bertindih.

 

Dalam kenyataannya, Andolong mengakui faktor tersebut menjadi dorongan Filipina untuk mengambil tindakan berkenaan selain lokasinya yang berdekatan Beting Scarborough.

 

Beting tersebut yang kaya dengan hidupan laut telah dikuasai kapal-kapal China selepas konfrontasi dengan Filipina pada 2012. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.