Lelaki Ditahan Cuba Eksport Teropong Malam Tentera

Honolulu – Seorang lelaki yang tinggal di China, ditahan di Hawaii kerana membeli enam teropong malam gred tentera daripada seorang ejen persekutuan samaran dan cuba mengeksport ke negara asalnya.

 

Song Il Kim menghabiskan masa beberapa bulan berunding dengan ejen itu di Utah, bagi membeli peralatan yang dihasilkan di Amerika Syarikat (AS), pada harga $22,000.

 

Dua jenis teropong yang Song mahu beli itu, hanya dihasilkan untuk kegunaan Tentera AS dan sekutunya, jadi ia dilarang untuk dieksport tanpa kebenaran Jabatan Negara.

 

Suspek berusia 41 tahun itu cuba menghantar peralatan berkenaan ke China, namun tidak jelas apa yang hendak dilakukannya dengan peralatan terbabit.

 

Sepasukan ejen Keselamatan Dalam Negeri mula menyiasat Song sejak April lalu.

 

Seorang daripada ejen samaran itu menemui Song di sebuah hotel di Waikiki, minggu lalu, untuk membincangkan urus niaga berkenaan, demikian kata ejen terbabit ketika perbicaraan Song di Mahkamah Persekutuan Honolulu, kelmarin.

 

Jelasnya, Song memberi $16,000 sebagai bayaran pendahuluan bagi enam teropong itu.

 

Ejen terbabit dan Song kemudiannya meletak tiga teropong itu ke dalam sebuah kotak dan membalutnya, sebelum suspek mengisi borang kastam menyatakan kotak itu diisi dengan barang mainan terpakai serta tuala dan membawa kotak itu ke sebuah pejabat pos, untuk dihantar ke China.

 

Mereka berjanji akan bertemu pada keesokannya untuk menghantar baki tiga teropong itu.

 

Hakim kemudiannya mengarahkan Song ditahan, tanpa diberikan sebarang ikat jamin.

 

Menurut pembantu pendakwa raya AS, Song akan dipindahkan ke Utah, di mana kes itu berlaku, selepas pendakwaan dilakukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.