Jumpa Tok Guru, Nik Aziz Di Lubang Kubur

Kota Bharu – Nik Abduh Nik Abduh Aziz mengecam sesetengah bekas pimpinan Pas yang menggunakan nama ayahandanya yang juga bekas Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menghalalkan tindakan menubuhkan parti baru.

 

Ketua Pemuda Pas itu berkata, tindakan itu seolah-olah menipu diri sendiri dan ahli Pas sudah pasti menyedari pemimpin berkenaan tidak bercakap benar.

 

“Ahli Pas tahu mereka sedang bercakap bohong, jumpa Tuan Guru di lubang kubur nanti,” katanya ringkas.

 

Dalam pada itu Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun Allahyarham Nik Abdul Aziz sentiasa menyokong penuh PR tetapi tidak pernah menggadaikan prinsip yang dipegangnya.

 

“Pada saya tidak wajar menggunakan nama tokoh yang meninggal dunia untuk menyokong pendirian kita apatah lagi pendirian tersebut untuk menghancurkan parti itu sendiri,”katanya yang pernah menjadi setiausaha Akhbar Nik Abdul Aziz dari 2010 hingga 2013.

 

Dalam nada sindiran kepada Gerakan Harapan Baru, Ahmad Fadhli berkata, sikap berprinsip dan tidak mudah putus asa tunjang kepada perjuangan Nik Abdul Aziz seperti mana isu perlaksanaan hudud.

 

“Allahyarham menyokong penuh tindakan dan hasrat kerajaan negeri untuk meneruskan perjuangan menguatkuasakan hudud selepas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan pusat akan memberi laluan kepada Kelantan.

 

“Bukan isu mempercayai janji kerajaan pusat tetapi untuk membuktikan komitmen Kelantan dan Pas yang tidak pernah undur di dalam isu ini (hudud).

 

“Malah, Tok Guru pernah menyatakan bahawa jika hudud menyebabkan DAP keluar PR, hasrat itu tetap diteruskan kerana ia merupakan dasar perjuangan parti ini (Pas),”katanya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Fahdli mencadangkan agar Pas melucutkan keahlian pemimpin veteran Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang merupakan kerana secara terang-terangan menyerang Pas ketika berucap dalam satu majlis penerangan Harapan Baru baru-baru ini. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.